Bulan Ramadhan semakin meninggalkan kita. Bagi orang yang beriman terasa sayu meninggalkan bulan ini. Berbeza dengan orang yang kurang imannya, sangat gembira malah tidak sabar-sabar untuk meninggalkan bulan Ramadhan ini.
Kita telah maklumi banyak kelebihan-kelebihan dan ganjaran dalam bulan Ramadhan ini. Antaranya :
Rasulullah bersabda : Allah berkata : Setiap amalan anak Adam adalah baginya melainkan puasa dan Aku yang akan membalasnya. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan berjumpa dengan Tuhannya. Dan perubahan bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah berbanding haruman kasturi. (HR. Muslim)
"Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berpuasa maka baginya seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikitpun dari pahalanya" (HR. Ahmad dan At Tirmidzi)
"Sungguh di Syurga terdapat ruang-ruang yang bahagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari luar. Maka berdirilah kepada Baginda seorang arab badwi seraya berkata : untuk siapakah ruangan-ruangan itu wahai Rasulullah ? jawab Baginda : untuk siapa sahaja yang berkata baik, memberi makan, selalu berpuasa dan solat malam ketika orang-orang dalam keadaan tidur". (HR. At-Tirmidzi)
Imam Az Zuhri berkata :Sesungguhnya Ramadhan itu bulan membaca al-Quran dan menyediakan makanan untuk orang berpuasa.
Di Penghujung Ramadhan ini suka untuk saya menulis sedikit berkaitan berbuka puasa dan apa-apa yang berkaitan dengannya.
Bagi orang yang berpuasa, saat yang paling ditunggu sudah semestinya ketika berbuka puasa. Dari orang yang paling tua sampailah kepada budak-budak semuanya menunggu-nunggu saat berbuka.
Bila Ramadhan menjelang, Bazar Ramadhan pun muncul. Kita baca dalam paper ada tempat itu sampai berebut-rebut orang nak mengambil bahagian berniaga dalam bazar yang fokus jualannya adalah juadah untuk berbuka puasa. Bila sanggup berebut-rebut nak ambil bahagian berniaga itu, maknanya untung berganda-ganda yang bakal diperolehi jika berniaga di bazar ramadhan.
Bazar-Bazar Ramadhan itu pula akan penuh dengan manusia yang mengunjugi lebih-lebih lagi jika ada menu top di bazar tersebut. Contohnya kalau di Jerantut terkenal dengan sejenis murtabak, memang beratur panjang di gerai murtabak tersebut. Ialah bukan hanya masyarakat sekitar bazar tersebut yang datang, orang Lipis pun datang beratur nak beli murtabak tersebut. Pernah suatu hari, saya dan beberapa orang sahabat pergi berbuka di kedai makan kerana juadah berbuka di masjid tidak cukup pada hari tersebut. Di meja sebelah ada dua keluarga yang telah hampir selesai menjamu selera, mereka menyuakan kepada kami murtabak sambil berkata : murtabak Jerantut ini..
Bukan tidak boleh pergi membeli belah di bazar Ramadhan, cumanya tahulah membeli makanan ketika tengah lapar, akhirnya macam-macam juadah yang kita beli. Dikhuatiri tidak mampu kita habiskan. Akhirnya dibuang sahaja. Sangat membazir.
Bila Ramadhan juga, lazimnya masjid-masjid dan surau akan membuat majlis berbuka puasa, tidak terkecuali Masjid Daerah Lipis. Sebulan sebelum Ramadhan menjelang, pihak penganjur mula mencari penaja-penaja yang sudi menaja untuk majlis berbuka puasa nanti. Suatu amalan yang sungguh mulia dan besar ganjarannya.
Beberapa ragam berkaitan dengan berbuka di masjid ini. Ada yang tak sudi berbuka di masjid. Bila ditanya jawabnya : Kalau berbuka di masjid rasa macam orang fakir yang tak mampu menyediakan makanan sendiri. Kata yang lain : Anak-anak ramai, susah nak bawa ke masjid ini.
Kata lain lagi : selesa makan kat rumah, makan kat masjid tak boleh nak makan lama-lama.
dan banyak lagi kata-kata mereka yang tidak sudi berbuka di masjid.
Lain halnya pula bagi sesetengah orang bujang, mereka sangat suka datang berbuka di masjid, sebabnya makan free. Itu yang time berbuka sahaja datang ke Masjid, Isya' dan terawih nanti lesap dah. Waktu-waktu lain jauh la laginya. Mudahan dengan beraninya mereka menghampiri masjid ketika berbuka ini, lambat laun akan membawa kepada mereka untuk semakin kerap menghampiri Masjid, InsyaAllah.
Beberapa pendapat ahli jemaah tetap masjid : Kita buat program majlis berbuka ini dengan beberapa agenda. Antaranya membuka ruang untuk orang memberi sedekah dengan menaja menyediakan juadah berbuka puasa. Di samping itu, bila kita berbuka di masjid ini, insyaAllah solat maghrib akan dapat kita tunaikan secara berjemaah di masjid. Kalau berbuka di rumah belum tentu lagi. Tak ke pelik, waktu bukan Ramadhan kita solat maghrib berjemaah di masjid, tapi bila bulan Ramadhan kita solat di rumah pula. Sepatutnya bulan Ramadhan lah kita kena berlumba-lumba ke masjid.
Sebenarnya berbuka di masjid ini sangat seronok. Ada orang panggil Iftar Jamaie. Di Mesir Famous dengan Maidahtul Rahman. Kalau nak dibandingkan pada juadahnya sudah tentu tak lah seberapa mana, tetapi kemanisan lain yang diperolehi, dapat makan beramai-ramai bersama sahabat-sahabat..alangkah indahnya. Bagi yang belum pernah mencuba berbuka puasa di masjid cuba-cubalah tahun hadapan pula, sudah tentu anda akan mendapat pengalam baru yang sangat manis dan indah..
Peserta khatam al-Quran Masjid Sultan Mahmud, menunggu masuk waktu maghrib
Berdoa sebelum makan
Penganjur tengah prepare untuk menghidang makanan
Kenangan berbuka di Masjid Amru al-Asr, Mesir. Untuk sampai ke Masjid ini dari rumah saya, perlu menaiki dua keretapi, bawah tanah dan atas tanah. Nak masuk ke masjid untuk solat terawih pada malam 27 Ramadhan perlu sampai sebelum waktu berbuka. Kalau tak, alamatnya solat di jalan raya lah.
No comments:
Post a Comment