Wednesday, June 14, 2017

Kisah Ramadan (KIRAM 21) MOREH

Kalian mesti biasa dengar perkataan Moreh?
Hari ini saya nak bercerita pasal moreh.
Moreh menurut kefahaman saya ialah jamuan makan selepas solat sunat terawih.
Ada juga yang menggunakan istilah moreh untuk jamuan berbuka puasa.
Awalnya ketika saya mula berkhidmat di Masjid Sultan Mahmud, saya sering terkonfius kerana moreh mengikut pengamalan  orang  di sini  bermaksud jamuan berbuka puasa.

Namun lazimnya jamuan berbuka puasa kini lebih popular dengan istilah Iftar.
bermaksud kenduri di masjid atau surau dalam bulan puasa. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)

Uniknya moreh tidak berlaku dalam bulan-bulan yang lain. Hanya bertemu dalam bulan Ramadan yang berkat ini. Hebat bukan!

Kaedah penyediaan moreh sama ada style potluck, fuh.. Orang dulu  tak reti pun istilah tu. Depa akan pakat bawak sikit-sikit seorang kuih muih. Kaedah ini biasanya diamalkan di kampung-kampung tradisional.

Ada juga masjid dan surau yang buat jadual giliran penyediaan Moreh di kalangan penduduk yang berminat.

Tetapi kini, kebanyakan masjid dan surau menggunakan khidmat katering untuk menyediakan moreh. Pihak pentadbiran masjid dan surau hanya menguruskan dengan membuka tajaan kepada mana-mana ahli jemaah yang berminat untuk menaja.

Tahun ini kos Moreh di Masjid Sultan Mahmud sebanyak RM 300 semalaman. Juadahnya dua jenis kuih, sejenis kuih manis dan sejenis kuih masin. Selain air teh o dan teh susu sebagai pembasah tekak.
Stok kuih pula tak boleh keluar sekaligus. Sebahagian Kuih akan disediakan secara bufet di meja jamuan dekat-dekat dengan lapan rakaat. Manakala sebahagian lagi disimpan untuk geng 20 rakaat. Huhu.

Antara kenangan saya  bermoreh ketika zaman belajar di Maahad Tahfiz :
Tahun 1 – Saya menjadi imam terawih di Surau Kampung Chendering. Morehnya dibawa secara potluck oleh penduduk kampung. Kami (imam-imam terawih) bersila di beranda sambil  menikmati moreh dengan senyap dan bersopan sambil memasang telinga mendengar perbualan pakcik-pakcik.

Tahun 2- Setiap malam, kami akan bertadarus di Istana Abdulaziz yang merupakan istana rasmi KDYTM Tengku Mahkota Pahang. Selepas tadarus kami akan moreh di dapur istana. Pelbagai jenis lauk dan kuih yang  dimasak sendiri oleh KDYTM Tengku Puan Pahang. Biasanya kami akan bungkus pula juadah tersebut untuk dibawa pulang ke Maahad.

Tahun 3- Saya menjadi imam terawih Masjid Bukit Sekilau. Selepas terawih, kami tak bermoreh di masjid, sebaliknya dibawa oleh bilal masjid mencanai di kedai mamak. Begitulah rutin moreh kami sepanjang ramadan. Bilal masjid tersebut ialah Ahmad Yusof, ketika itu selaku penolong jurulatih pasukan bola sepak Pahang. Sambil menikmati  tosey kami biasanya mendengar cerita-cerita  dan pengalaman beliau. Sesudah mencanai, kami dihantar pulang ke Maahad.

Jom kongsikan pengalaman anda bermoreh. Pasti menarik.

#PermaiMenulis
#Moreh
#kiram

Lawat :


No comments: